KUALA LUMPUR – Tindakan parti pembangkang cuba menonjolkan kepada masyarakat kononnya kenyataan Majlis Raja-Raja baru-baru ini selari dengan agenda politik mereka satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab demi meraih kepentingan politik.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kenyataan Majlis Raja-Raja mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu sebenarnya selari dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu berkenaan.
“Perdana Menteri sendiri menegaskan masalah 1MDB perlu disiasat dan diselesaikan segera.
“Ada pula pihak cuba tafsir apa yang Majlis Raja-Raja nyatakan dengan spekulasi dan andaian yang tidak bertanggungjawab kononnya Majlis Raja-Raja telah hilang kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kementerian Pertahanan di ibu negara yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di sini semalam.
Hishammuddin turut menyelar parti pembangkang kerana seolah-olah mahu meletakkan agenda politik mereka dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Raja-Raja.
“Mereka cuba `put words in raja mouths’,” katanya.
Sementara itu, Khairy menegaskan bahawa beliau bersetuju dengan pandangan Hishammuddin.
Majlis Raja-Raja sebelum ini mahu kerajaan Persekutuan segera menyelesaikan isu 1MDB yang menyebabkan wujud persepsi isu tersebut kononnya menyumbang kepada masalah ekonomi negara waktu ini. – MYNEWSHUB.CC

