BENTONG – Melihat situasi mangsa banjir yang kebiasaannya hanya sehelai sepinggang dan terpaksa kelaparan sebelum bantuan tiba di pusat pemindahan, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) tampil memperkenalkan ‘sistem beg sembilan bulan’.
Ketua Pengarah JPAM, Datuk Zaitun Ab. Samah berkata, inisiatif itu antara langkah yang diatur oleh jabatan dalam menghadapi banjir tahun ini selaku agensi yang diamanahkan untuk menerajui pengurusan bencana.
“Lazimnya kita dapati mangsa banjir mudah panik apabila air naik secara tiba-tiba di rumah menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan termasuk dokumen penting dan datang ke pusat pemindahan hanya sehelai sepinggang sahaja.
“Jadi kita perkenalkan sistem ini dengan mengambil konsep persiapan orang hendak bersalin yang beg dipersiapkan dengan barangan yang diperlukan dan hanya perlu dicapai apabila tiba masanya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis penyampaian pangkat dan watikah Pegawai Bersekutu Pertahanan Awam kepada Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia yang juga pemilik eco-resort Tanah Aina Resort Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil di sini. – BERNAMA