ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Kedah menahan 79 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tiga wanita pelbagai warganegara dalam ‘Op Bersepadu’ di pusat beli-belah di Lebuhraya Darul Aman di sini, semalam.
Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata operasi pada pukul 8 malam yang turut disertai pegawai dari Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) itu telah menjalankan pemeriksaan di beberapa premis makanan, perniagaan pakaian, kawalan keselamatan bangunan dan perkhidmatan pembersihan di pusat beli-belah tersebut.
Hasil pemeriksaan ke atas 100 warga asing pelbagai warganegara itu, 79 PATI ditahan yang terdiri daripada 42 lelaki Nepal, Bangladesh (15), Pakistan (tiga), Thailand (dua), India (satu), Filipina (satu), lapan lelaki dan seorang wanita Myanmar dan empat lelaki dan dua wanita Indonesia.
“Kesemua mereka yang berumur antara 19 dan 34 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun yang juga penyelia syarikat perkhidmatan pembersihan turut ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi PATI,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohamad Yusri berkata kesemua PATI yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini sebelum dipindahkan ke Depoh Imigresen Belantik, Sik. – BERNAMA

