LONDON - Liverpool yang mendapat inspirasi dengan kehadiran pengurus baharu, Jurgen Klopp sekadar mencatat keputusan seri 0-0 bertemu Tottenham Hotspurs dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di White Hart Lane, sebentar tadi.
Tampil ke Liverpool bagi menggantikan Brendan Rodgers, kurang dua minggu lalu, tidak banyak dapat dilakukan Klopp ketika segenap mata peminat Kop di seluruh dunia mengharapkan keajaiban daripadanya.
Tidak banyak yang dapat dilakukan Klopp pada aksi sulungnya di pentas Inggeris itu dengan hanya dua pertukaran yang dilakukan pengurus kelahiran Jerman itu berbanding pasukan yang disenarai Rodgers pada perlawanan sebelum ini.
Malah pertukaran yang dilakukan disebabkan kecederaan pemain iaitu di jentera serangan iaitu bagi menggantikan tempat Danny Ings dan Daniel Sturridge. dan menggantikannya dengan Divock Origi dan Adam Lallana.
Bermula agak baik, Liverpool berpeluang di depan seawal minit ke-10 namun tandukan Origi yang bermula daripada sepakan sudut dinafikan palang gol selain didapati ofsaid.
Permainan kemudian banyak tertumpu di bahagian tengah padang sebelum Spurs menjana beberapa serangan yang hampir memecah kebuntuan gol bermula pada minit ke-27 menerusi penyerang gantian Clinton N’Jie.
Tidak banyak yang berubah pada babak kedua permainan dengan perlawanan lebih tertumpu di kawasan tengah padang dengan beberapa cubaan gagal diterjemah kepada gol dengan permainan babak kedua hampir sama.
Keputusan seri menyaksikan Spurs kekal berada di kedudukan lebih tinggi berbanding Liverpool dalam carta liga selepas kedua-duanya masing-masing mengumpul 14 dan 13 mata daripada sembilan perlawanan.