IPOH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 3 Lumut menahan sebuah kapal dagang, MT Tenki, yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Lumut kira-kira 6 batu nautika barat laut Pulau Pangkor di sini, Rabu lepas.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah, Kapten Zulinda Ramly berkata kapal maritim KM Nyalau melakukan rondaan di kawasan berkenaan berjaya mengesan kapal dagang tersebut pada kira-kira 5.30 petang.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
“Kapal berkenaan mempunyai 30 orang kru dan kita membawa tiga daripada mereka ke Pejabat Maritim Malaysia DM3 Lumut untuk membantu siasatan.
“Kapal berkenaan didaftarkan di Panama, Amerika Latin dan pemilik kapal dagang berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 491B (1) (I) Ordinan Perkapalan Saudagar kerana berlabuh tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulinda berkata APMM akan terus melakukan rondaan berkala bagi meningkatkan kawalan keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan keselamatan di perairan negara terjamin. – BERNAMA

