KOTA BHARU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan harga minyak masih tinggi walaupun kapal Malaysia telah melepasi Selat Hormuz berpunca daripada perubahan kos pembelian serta peningkatan ketara kos berkaitan termasuk insurans dan pengangkutan.
Menurut beliau, walaupun terdapat persoalan mengenai penurunan ketegangan di Selat Hormuz, harga minyak tidak serta-merta turun kerana Malaysia membeli minyak pada harga semasa yang telah meningkat.
“Ramai tanya kenapa harga minyak masih mahal walaupun kapal sudah berlepas dari Selat Hormuz. Ini kerana harga minyak yang kita beli sudah berubah. Selain itu, kos insurans meningkat sehingga 150 peratus dan kos pengangkutan turut naik disebabkan risiko,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menasihatkan semua pihak agar mendapatkan maklumat yang tepat sebelum membuat sebarang kesimpulan, khususnya berkaitan isu eksport minyak ke Filipina yang sebelum ini mencetuskan kontroversi.
Jelasnya, penghantaran tersebut melibatkan syarikat antarabangsa Vitol yang mempunyai perjanjian sedia ada untuk memproses minyak di Pengerang sebelum dihantar ke Filipina.
“Jadi saya nak merayu rakan-rakan boleh bagi pandangan, tetapi sebentar, sedikit tabayun supaya kita kaji dapat maklumat yang tepat. Vitol itu syarikat asing. Perjanjian dia itu proses minyak di Pengerang dan etelah proses dia bawa ke Filipina.
“Minyak itu minyak Vitol. Perjanjian itu dengan Filipina yang dibuat dua tahun atau sebelumnya. Jadi Malaysia tak boleh guna undang-undang darurat menyekat dan ‘berperang’ dengan negara-negara jiran,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kerajaan berpegang kepada prinsip menunaikan perjanjian yang telah dimeterai demi menjaga kredibiliti negara di peringkat antarabangsa.
Mengulas situasi geopolitik semasa, Anwar berkata, kesan konflik dan ketegangan di Timur Tengah tidak akan pulih dalam tempoh singkat walaupun usaha damai sedang berjalan.
Sebagai contoh, katanya, kerosakan kemudahan gas di Qatar dijangka mengambil masa sehingga tiga tahun untuk kembali beroperasi sepenuhnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan banyak negara kini berusaha mendapatkan bekalan minyak dari Russia susulan perubahan dasar sekatan sebelum ini.
“Banyak negara berebut, berunding dan mohon untuk membeli minyak dari Russia.. itu menarik. Dulu Eropah buat sekatan, Amerika buat larangan. Sekarang terpaksa beri ruang.
“Nasib baik, alhamdulillah, kerana hubungan kita dengan Russia itu masih baik… Jadi dalam keadaan sekarang ini pun, pasukan kita termasuk dari Petronas boleh berunding dengan Rusia untuk memenuhi sebahagian dari keperluan kita sebagai negara sahabat.
Pada masa sama, beliau memaklumkan beberapa kapal minyak Malaysia telah berjaya melalui laluan kritikal itu dengan bantuan diplomatik, termasuk hasil hubungan dengan Iran.
Salah satu kapal milik Petronas dilaporkan telah tiba di Pengerang untuk tujuan pemprosesan, manakala beberapa lagi masih dalam perjalanan dan berdepan cabaran teknikal serta logistik.
“Tetapi kita syukur, alhamdulillah, kerana awal kita berhubung dengan Presiden Iran membolehkan kapal kita itu terlepas. Satu lagi dalam perjalanan yang mungkin sampai dalam masa singkat.
“Satu masih tersekat di Selat Hormuz kerana mengalami kerosakan awal. Sudah tiga empat bulan rosak, jadi tak boleh. Tinggal lagi empat itu walaupun diberikan laluan kelulusan oleh Kerajaan Iran, Presiden Iran khususnya,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menyeru semua pihak termasuk pemimpin negeri Kelantan untuk membantu menjelaskan situasi sebenar kepada rakyat agar tidak timbul kekeliruan.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam suasana ketidaktentuan global, rakyat perlu bersedia menghadapi kemungkinan kesan ekonomi yang berpanjangan, walaupun kerajaan akan terus berusaha mengurangkan beban yang ditanggung. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Video/Foto: Akaun media sosial Anwar Ibrahim


