KOTA BHARU – Seorang bekas guru dari Thailand diarah membela diri atas tuduhan mengedar 76.39 gram dadah di mahkamah tinggi, di sini, semalam.
Perintah dikeluarkan Hakim, Datuk Azman Abdullah terhadap, Abdullah Saofi pada keputusan di akhir kes pendakwaan.
“Setelah meneliti, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pendakwaannya dan tertuduh dipanggil untuk membela diri,†katanya.
Tertuduh didakwa pada tuduhan pindaan mengedar dadah jenis metamphetamine itu di sebuah stesen minyak di Jalan Pasir Mas – Rantau Panjang, Pasir Mas, pada jam 7.10 petang, 15 Disember 2006.
Dakwaan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memberi hak kepada tertuduh untuk memilih cara membela diri sama ada tertuduh mahu berdiam diri, memberi keterangan secara tidak bersumpah atau memberi keterangan bersumpah.
Dia yang diwakili peguamnya belum menyatakan keputusannya.
Tarikh bela diri ditetapkan pada 19 Oktober ini. – Sinar Harian Online
https://www.youtube.com/watch?v=uTH4CddSYhM

