ANKARA – Angka korban akibat letupan bom dipercayai daripada dua pengebom nekad pada perhimpunan aktivis penyokong Kurdish, meningkat kepada 95 orang setakat ini, serangan terburuk dalam sejarah moden Turki.
Dua letupan kuat di persimpangan berhampiran stesen kereta api utama Ankara itu meningkatkan bahang politik di negara itu yang akan mengadakan pilihan raya pada 1 November ini.
Suasana politik di Turki memang agak tegang setakat ini berikutan peningkatan serangan kerajaan terhadap militan Kurdish.
Serangan itu turut menyebabkan 246 orang cedera, yang mana 48 parah, mengikut laporan terkini yang diumumkan pejabat Perdana Menteri, Ahmet Davutoglu. Presiden Recep Tayyip Erdogan mengutuk serangan itu yang disifatkannya bertujuan menyerang perpaduan dan keamanan negara itu.
Mengisytiharkan tiga hari tempoh berkabung, Davutoglu berkata, ada petunjuk jelas serangan itu dibuat dua pengebom nekad. “Kami dengar letupan kuat, diikuti satu lagi letupan dan suasana dengan pantas bertukar panik dengan orang ramai bertempiaran lari.
Kemudian kami nampak mayat bergelimpangan di sekitar stesen ini,” kata Ahmet Onen, 52, seorang daripada peserta himpunan itu. “Perhimpunan untuk menyemarak dan menyuburkan keamanan bertukar menjadi medan pembunuhan beramai-ramai. Saya tak faham kenapa ini terjadi,” katanya. – AFP
[wpdevart_youtube]RJIRj_kaXz8[/wpdevart_youtube]

