JASIN – Undang-undang kawalan hasil tembakau yang sedang dirangka Kementerian Kesihatan untuk dibentang di parlimen bakal mengambil kira kawalan penggunaan vape yang memudaratkan kesihatan pengguna, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.
Beliau berkata, undang-undang sedia ada iaitu Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2011 di bawah Akta Makanan 1983 dilihat tidak begitu berkesan pada masa kini terutama dari segi denda yang dikenakan terhadap pesalah bagi mengawal penggunaan vape dan hasil tembakau seperti rokok.
“Vape kita masukkan sekali supaya kita dapat kawal yang sekarang ini kita tidak dapat kawal, vape amat berbahaya terutama bila asap disedut anak-anak kita. Saya nasihatkan hentikanlah menggunakan vape kerana ia mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan.
“Proses merangka undang-undang berkaitan hasil tembakau ini telah berjalan kira-kira dua tahun dan saya amat berharap ia akan dibawa ke parlimen dengan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Zoomers Kelab Doktor Muda Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka, Datuk Dr Ghazali Othman. – BERNAMA