MELAKA – Seorang penagih dadah ditemui lemas selepas terjun ke dalam Sungai Krubong ketika melarikan diri daripada pemeriksaan polis dalam Op Sarang di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata sebelum itu, lelaki berusia 22 tahun berkenaan bersama abangnya yang juga penagih bertindak melarikan diri dalam satu sekatan jalan raya oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibupejabat Polis Melaka, kira-kira 9.30 pagi.
“Mereka memberhentikan motosikal yang dinaiki dan bertindak terjun ke dalam Sungai Krubong untuk melarikan diri,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Jumaat.
Beliau berkata abang mangsa berjaya menyeberangi sungai tersebut tetapi mangsa tidak timbul sebelum ditemui lemas oleh anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat.
Katanya mayat mangsa ditemui kira-kira 10.30 pagi dan abangnya berjaya ditahan untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

