PORT DICKSON – Projek pembinaan pangkalan udara baharu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sendayan, Seremban kini sedang rancak dijalankan dan setakat ini telah siap sebanyak 40 peratus.
Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Roslan Saad berkata mengikut perancangan, pangkalan udara baharu ini dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung 2016 dan mula beroperasi awal tahun berikutnya.
“Pangkalan berkeluasan 303 hektar bakal menempatkan lebih 1,500 anggota. TUDM akan menjadikan pangkalan itu sebagai pangkalan latihan dan menempatkan unit-unit latihan yang terdapat di setiap pangkalan udara di seluruh negara di satu lokasi sahaja.
“Pangkalan udara baharu ini bagi menggantikan pangkalan sedia ada di Sungai Besi,” katanya pada sidang media selepas majlis perbarisan pembubaran dan pemakaian pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) kepada Malaysian Battalion 850-2 (Malbatt 850-2) di padang kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Baharom Hamzah, Panglima Latihan Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki dan Assisten Ketua Staf Operasi Eksesais MK TL Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mior Rosdi Mior Mohd Jaafar.
Katanya selain dijadikan sebagai pusat latihan ikhtisas bagi melatih pegawai dan anggota dalam bidang logistik, pentadbiran serta pengurusan, pangkalan udara baharu ini juga akan menempatkan Markas Pemerintahan Latihan.
Katanya kira-kira 30 peratus daripada pangkalan tersebut akan dirizab sebagai kawasan hijau untuk dijadikan tapak latihan anggota, selain pembangunan masa depan.
“Pembangunan pangkalan udara baharu ini merupakan satu peluang untuk memperkemaskan lagi struktur pendidikan dan latihan lanjutan ketenteraan yang profesional, menjurus kepada keperluan bantuan untuk menyokong pengoperasian aset TUDM.
“Untuk mencapai matlamat tersebut, pelbagai kemudahan dan peralatan moden akan disediakan di situ bagi melengkapkan semua anggota dengan kemahiran profesional dan teknikal,” katanya.
Sementara itu, seramai 847 anggota pasukan Malbatt 850-2 yang menjalankan misi Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dianugerah pingat PNBB.
Mereka terdiri daripada 75 pegawai dan 772 anggota lain-lain pangkat diketuai Kol Khaswadi Lahuri.
Seramai tiga pegawai dan 27 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei turut menerima anugerah itu.
Anugerah itu bagi mengiktiraf kejayaan pasukan berkenaan menjalankan misi UNIFIL di Lubnan selama 12 bulan mulai 25 Sept 2014.
Roslan berkata kejayaan Malbatt 850-2 meneruskan kecemerlangan kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lubnan walaupun kadangkala terpaksa menghadapi kekangan, ia berjaya mengekalkan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dan mencapai standard seperti yang telah digariskan oleh pihak UNIFIL.
“Malbatt 850-2 mampu melaksanakan operasi dengan berkesan dalam kawasan tanggungjawab yang semakin meluas jika dibandingkan dengan pasukan pengaman dari negara lain.
Kejayaan misi Malbatt 850-2 adalah juga kejayaan negara dan ATM. Misi selanjutnya telah diambil alih oleh Malbatt 850-3 sejak 14 Sept lepas,” katanya. – BERNAMA