KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan sebuah pesawat F/A-18D Hornet mengalami masalah enjin semasa penerbangan pulang setelah Latihan Tembakan Udara ke Permukaan waktu malam pada 19 Mei 2026 di Kota Belud, Sabah.
TUDM dalam satu kenyataan berkata, juruterbang melaksanakan prosedur kecemasan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai langkah keselamatan.
“Pesawat tersebut berjaya mendarat dengan selamat pada pukul 7.47 malam.Susulan kejadian tersebut, TUDM telah mengaturgerakkan pasukan teknikal ke KKIA bagi melaksanakan proses pemeriksaan dan bantuan teknikal ke atas pesawat berkenaan,” kata kenyataan itu.
Menurut TUDM, pesawat berkenaan dijangka akan diterbangkan kembali ke pangkalan setelah semua proses dan pengesahan
teknikal selesai dilaksanakan.
Kata kenyataan itu, TUDM memberi jaminan bahawa keselamatan operasi penerbangan sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap pelaksanaan misi dan latihan. – MYNEWSHUB


