KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa tidak berpuas hati dengan pembahagian hasil kutipan penganjuran Piala FA oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Katanya, beliau turut tidak berpuas hati dengan hadiah Piala FA kerana bukan sahaja tidak bertambah malah jumlahnya semakin kecil.
“Daripada RM3 juta kutipan tiket belum termasuk kutipan tajaan, hak penyiaran dan lain-lain, Kelantan hanya dapat RM600,000.
“Kelantan yang membantu menjual 90 peratus tiket hanya dapat sejumlah selepas semua pihak lain mendapat bahagia mereka. FAM sendiri awal-awal `balun’ RM1 juta atas nama levi dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Annuar turut melahirkan dukacita kerana pasukan dari Singapura diberikan jumlah yang besar sedangkan pasukan itu tidak sepatutnya menerima hadiah kemenangan kecuali token selaku pasukan jemputan.
Menurutnya, pasukan Kelantan terpaksa membelanjakan beratus ribu ringgit setiap kali memasuki pusingan akhir sedangkan pasukan dari Singapura tidak berbuat apa-apa untuk menjayakan perlawanan itu.
“Apa pun isu utum ialah kenapa FAM memperkudakan ahli gabungan sendiri. Kenapa FAM buat formula agihan tanpa persetujuan pihak berkepentingan?
“Kenapa FAM tidak telus dalam kira-kira mereka? Apakah kerana FAM kebal dan sudah jadi budaya tidak peduli pada gabungannya sendiri? Dengan segala kejengkelan dalam FAM mereka masih boleh bertebal muka untuk duduk dan terus menghancurkan bola Malaysia?” katanya. – Mynewshub.cc

