KUALA LUMPUR – Santiago Giraldo dari Colombia sedia memberi tentangan sengit kepada Nick Kyrgios dari Australia dalam pusingan pertama Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia 2015, bermula Isnin ini.
Giraldo optimis untuk memberikan tentangan hebat walaupun Kyrgios yang berdarah kacukan Malaysia mempunyai kelebihan sebagai pemain pilihan ketujuh dalam kejohanan sembilan hari di Stadium Putra, Bukit Jalil.
Pusingan kelayakan berlangsung hari ini dan esok.
Giraldo atau Kyrgios dijadualkan bertemu Tatsuma Ito dari Jepun atau Jarkko Nieminen dari Finland pada pusingan kedua kejohanan yang menawarkan hadiah US$1.04 juta (RM4.59 juta).
“Ia adalah perlawanan yang sukar … dia (Kyrgios) adalah seorang pemain yang bagus…saya perlu bekerja keras untuk mengalahkannya.
Banyak pemain yang hebat dalam kejohanan kali ini, jadi adalah baik untuk saya bersama mereka,” beliau memberitahu wartawan selepas majlis undian di Stadium Putra di sini hari ini.
Undian kejohanan pada hari ini menyaksikan David Ferrer dari Sepanyol diletakkan sebagai pilihan pertama, pilihan kedua Feliciano Lopez dari Sepanyol, pilihan ketiga Ivo Karlovic dari Croatia dan pilihan keempat Gregor Dimitrov dari Bulgaria mendapat bye pada pusingan pertama. – BERNAMA