TIDAK seperti kebanyakan selebriti tempatan yang gemar menunjukkan anak mereka menerusi media sosial, situasi ini sama sekali berbeza dengan selebriti Hollywood, kerana kalau seboleh-bolehnya mereka mahu menyorok identiti serta tidak mahu terlalu menonjolkan anak masing-masing di mata umum.
Seperti yang kita tahu mendiang Michael Jackson antara yang cukup menjaga identiti anak-anaknya suatu ketika dahulu malah pernah membalut muka anaknya dengan selimut sehingga anak ketiganya itu mendapat gelaran Blanket sehingga ke hari ini.
Baru-baru ini, penyanyi yang terkenal dengan lagu Cry Me a River, Justin Timberlake sudi berkongsi gambar terbaharu anak lelakinya, Silas Randall Timberlake yang kini sudah pun memasuki usia lima bulan.
Dikenali kurang gemar memuat naik gambar-gambar berkaitan hal peribadinya, Justin yang juga merupakan bekas ahli boyband N’sync berkongsi gambar eksklusif itu dengan program tv, The Tonight Show Starring Jimmy Fallon yang kemudiannya berkicau di laman Twitter untuk tatapan peminat setia Mr. Sexyback ini.
Silas merupakan hasil perkongsian hidup Justin dengan isteri, aktres Jessica Biel yang dikahwininya pada 19 Oktober 2012. – MYNEWSHUB.CC

