JOHOR BAHARU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal tanpa muatan kargo setelah didapati tidak membayar dius api serta berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Ayam, Kota Tinggi, pagi Khamis.
Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 7 Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata pihaknya turut menahan 11 anak kapal berusia antara 20 dan 50 tahun.
Mereka terdiri daripada seorang warga Indonesia, masing-masing tiga warga China dan Myanmar serta empat warga Vietnam, katanya dalam satu kenyataan di sini Jumaat.
Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke pejabat APMM Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut, kata Amran.
Beliau berkata kapal yang didaftarkan di Ulan Bator, Mongolia itu dikesan APMM ketika sedang bersauh di kedudukan 1.14 batu nautika tenggara Tanjung Ayam.
Amran berkata kapal terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) iaitu bersauh tanpa kebenaran serta gagal memaklumkan ketibaan kapal di perairan Malaysia.
Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Amran berkata tangkapan itu adalah kes kelapan bagi tahun ini atas kesalahan yang sama.
Beliau berkata pihaknya akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan negara bagi memastikan keselamatan kapal yang melalui perairan negara sentiasa terjamin dan mematuhi undang-undang negara ini. – BERNAMA

