SINGAPURA – Dalam usaha drastik untuk mengatasi masalah serius kekurangan penduduk, pemerintah pada Selasa memperkenalkan tambahan ‘duit bonus’ kepada pasangan yang memiliki lebih empat orang anak.
Sebelum ini, bukanlah luar biasa melihat penghijrahan ribuan rakyatnya ke luar negara khasnya Melayu ke Malaysia dan Cina ke Barat ekoran dasar pemerintah yang sekian lama kurang ‘mesra’ kepada keluarga besar.
Bayangkanlah sebelum 1970-an, kadar kelahiran penduduk cukup tinggi, malahan Hospital Kandang Kerbau pernah dinobatkan pihak Guinness sebagai hospital paling ramai bayi lahir di dunia untuk 10 tahun berturut-turut.
Justeru sejak dekad 1970-an, ibu bapa dengan tiga anak dan ke atas akan kena bayar lebih bil rawatan hospital, tiada cuti bersalin, cukai pendapatan tinggi, yuran sekolah mahal serta denda untuk skim perumahan awam.

Dasar amat ‘kejam’ itu ditamatkan pada akhir 1990-an apabila jumlah penduduk jatuh paling teruk dalam sejarah sehingga pemerintah terpaksa ‘import’ puluhan ribu pendatang China yang mudah diberi kerakyatan Singapura.
Ramai penduduk jati republik tersebut ‘marah’ dengan isu kewarganegaraan ‘ekspres’ itu dan sebagai langkah jangka panjang, pemerintah memperkenalkan Skim Bonus Bayi untuk menggalakkan keluarga ada anak ramai.
Hari ini dengan 5.4 juta penduduk, kaum Melayu mencatatkan kadar kelahiran tertinggi iaitu 70 peratus berbanding kaum-kaum lain dan ini kurang disenangi Cina yang membentuk majoriti atau 75 peratus masyarakat Singapura.
Ironi, program itu masih lagi kurang sambutan dan sebagai usaha terbaharu, pada 25 Ogos, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Grace Fu mengumumkan tambahan insentif yang lebih baik, lapor stesen radio tempatan.
Ibu bapa yang menimang cahaya mata akan menerima bonus tambahan S$2,000 (RM6,047) sebagai sebahagian daripada skim lama yang dipertingkat dan diberi kepada bayi itu antara 12 hingga 18 bulan selepas dilahirkan.
Sebelum ini, bonus adalah antara S$6,000 (RM18,142) hingga S$8,000 (RM24,190) dan dihadkan kepada hanya empat orang anak sahaja, dengan setiap anak bakal menerimanya dalam masa setahun mereka dilahirkan.
Grace bercakap demikian kepada wartawan setelah melakukan lawatan ke sebuah pusat prasekolah di Sengkang, sebagai susulan ucapan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong pada Hari Kebangsaan 2015 baru-baru ini
Beliau berharap ibu bapa akan lebih tenang dan yakin memulakan sebuah keluarga lebih besar, bahkan ‘Geran Medisave’ untuk rawatan bayi juga akan dinaikkan daripada S$3,000 (RM9,071) kepada S$4,000 (RM12,095).
Menurut Grace, jumlah itu cukup untuk membayar premium insurans Medishield Hayat untuk si anak dari tarikh bayi tersebut dilahirkan hingga berusia 21 tahun, serta pelbagai kos perbelanjaan kesihatan yang lain.
Perubahan tersebut yang mula dikuatkuasakan untuk kelahiran sejak Januari lalu, juga memberi tambahan cuti bersalin sehingga empat minggu kepada bapa bagi menjaga bayi baharu dilahirkan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA


