MIRI – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menjual cecair syabu yang diisi dalam botol kecil memaparkan imej kartun penyanyi K-Pop, Psy dengan harga RM250 sebotol.
Pemangku Ketua Polis Miri Supt Stanley Johnathan Ringgit, selain imej kartun penyanyi K-Pop, botol menyerupai minyak wangi saiz kecil itu mempunyai label “Myself Style” bertujuan untuk melindungi kegiatan pengedaran dan penjualan dadah.
“Hasil serbuan dilakukan di sebuah rumah di Permyjaya pada 12 Ogos lepas, dengan anggaran isipadu keseluruhan kesemua cecair tersebut ialah 420ml,” katanya dalam sidang media hari ini.
Stanley berkata, penggunaan botol kecil dan imej penyanyi K-Pop itu adalah kaedah terbaharu digunakan sindiket pengedaran dadah di sini dengan sasaran pasaran pusat-pusat hiburan di sini.
Beliau berkata, botol-botol itu dipercayai ditempah khas dari negara luar sebelum ianya diisi dengan cecair syabu di sini.
“Kita telah menahan dua suspek iaitu sepasang suami-isteri berumur 26 dan 47 tahun, seorang lelaki warga tempatan dan isterinya warganegara China pada hari yang sama dan telah ditahan reman sehingga Khamis ini,” katanya.
Beliau berkata hasil ujian air kencing kedua-dua pasangan itu mendapati kedua-dua suspek positif dadah.
Beliau berkata, selain daripada 28 botol cecair syabu tersebut turut dirampas ialah tujuh biji pil ecstacy, enam ketul ganja seberat 70gram dan 190 biji pil erimin.
“Nilai keseluruhan dadah dirampas ialah RM24,595 turut dirampas kenderaan pacuan empat roda Hilux bernilai RM50,000 serta alat penimbang digital bertujuan untuk menimbang serbuk dadah,”katanya.
Beliau berkata, kes ini disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. – BERNAMA


