KUALA PILAH – Pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) diingatkan supaya tidak terlibat dalam perkara bertentangan dengan undang-undang termasuk perhimpunan Bersih 4.0 yang akan dianjurkan di ibu negara pada hujung bulan ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mara akan mengambil tindakan terhadap pelajar tajaannya yang didapati terlibat dalam perhimpunan itu.
“Bentuk tindakan yang akan dikenakan bergantung dari segi akta, peraturan dan perjanjian pelajar dengan Mara.
“Oleh itu, kalau ada di antara mereka melanggar peraturan, perjanjian dan sebagainya maka mereka perlu bersedia untuk menghadapi tindakan daripada Mara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kuala Pilah di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata beliau turut menerima permohonan dari negeri-negeri untuk membuka pusat jualan dan borong alat telekomunikasi.
“Setakat ini, Selangor meminta kita menukarkan Anggerik Mall di Shah Alam untuk dijadikan pusat jualan dan borong alat telekomunikasi. Malah, saya difahamkan Pergerakan Pemuda UMNO negeri Kedah juga telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir supaya pusat ini dibuka juga di Kedah.
“Saya percaya negeri-negeri lain akan menyusul. Bagi kita, sasaran kita bukan setakat di Kuala Lumpur, tetapi di seluruh bandar besar di seluruh negara pada masa akan datang,” katanya.
Ismail Sabri berkata beliau tidak akan berganjak dengan cadangan penubuhan pusat jualan alat telekomunikasi umpama “Plaza Low Yat’, khusus untuk peniaga Melayu di Tingkat 3, Bangunan MARA di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Katanya perkara itu akan menjadi realiti dalam masa tiga bulan lagi. – BERNAMA

