KUALA LUMPUR – Kerajaan Perak dan Jabatan Perikanan diminta menyiasat projek ternakan kerang di Kuala Gula hingga ke Kuala Sepetang di Daerah Kerian kerana didakwa menjejaskan aktiviti dan sumber pendapatan lebih 1,000 nelayan pantai kawasan tersebut.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), S.M. Mohamed Idris berkata, nelayan-nelayan pantai yang menghadapi masalah itu dari Kuala Gula, Kuala Kurau, Kuala Selinsing, Kuala Sepetang, Kuala Sungai Pinang dan Sungai Protan.
“Dalam tinjauan yang dibuat, SAM mendapati pengusaha projek ternakan kerang di kawasan tersebut telah meletak beribu batang pancang di muara sungai dan laut di sini menyebabkan nelayan pantai sukar untuk melabuhkan pukat mereka.
“Keadaan itu juga amat merbahaya dan boleh mengancam keselamatan nelayan-nelayan pantai di kawasan ini. Terdapat beberapa kejadian bot nelayan pantai pecah dan rosak kerana terlanggar pancang yang terdapat di perairan itu,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
S.M. Mohamed mendakwa, masalah yang telah berlarutan lebih 10 tahun lalu itu semakin serius berlaku ketika ini kerana pengusaha ternakan kerang kian bertambah jumlahnya dan kawasan ternakan pula semakin luas.
Dakwanya, nelayan pantai terlibat berasa bimbang dengan perkembangan tersebut dan mendakwa ada dalam kalangan pengusaha projek itu menabur benih kerang di kawasan semulajadi dan kawasan yang tidak diberi kelulusan oleh pihak berkuasa.
Beliau mendakwa, tindakan itu bukan saja menyebabkan nelayan pantai kehilangan kawasan tangkapan mereka mencari rezeki sejak turun temurun malah kesan pencemaran dasar laut dan kawasan pantai juga semakin ketara.
“Penggunaan tangguk besi seberat 30 kilogram (kg) oleh para pengusaha projek ternakan kerang di sini telah menyebabkan air laut menjadi busuk di mana ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan pantai telah berkurangan dan menjejaskan hasil pendapatan mereka antara 30 peratus hingga 70 peratus setiap kali turun ke laut,” dakwanya. – mynewshub.cc

