IPOH – Kaedah pembedahan menggunakan akupuntur bagi mengurangkan kesakitan yang dikenali sebagai ‘Acupuncture Assisted Anaesthesia’ (AAA) akan diperluas di hospital lain di negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata setakat ini kaedah perubatan tradisional Cina itu telah dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Hospital Selayang dan Hospital Putrajaya.
Sejak diperkenalkan pada 2011, beliau berkata sebanyak 22 pembedahan bagi pelbagai jenis penyakit telah dilakukan dengan menggunakan kaedah itu.
“Prosedur yang telah dilakukan menggunakan kaedah AAA termasuk ‘excision of breast lumps, cranioplasty, craniotomy, drainage of brain abscess, thyroid surgery, lymph mode excision, removal of chemoport dan lipoma excision,” , katanya pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat berhubung kaedah perubatan itu di Kompleks Rawatan Harian HRPB di sini, Khamis.
Dr Subramaniam kemudian mengadakan lawatan ke Wad Rawatan Harian, Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu.
Beliau berkata antara kelebihan kaedah tersebut ialah pesakit boleh balik ke rumah pada hari sama pembedahan dilakukan, mengurangkan kesakitan semasa pembedahan dan pesakit sedar semasa pembedahan dijalankan.
“Ini merupakan langkah-langkah membantu proses pemulihan pembedahan (selepas pembedahan) lebih cepat dan boleh digunakan dalam keadaan tertentu sebagai satu langkah alternatif kepada pembedahan yang dibuat pada masa sekarang.
“Selain itu, ia (kaedah itu) menjimatkan kos kerajaan kerana ia tidak melibatkan kos yang tinggi, pesakit tidak tinggal di hospital dalam tempoh yang lama sekali gus mengurangkan perbelanjaan hospital,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata kerajaan juga sedang mengkaji langkah-langkah bagaimana untuk mengembang dan meneroka penggunaan akupuntur dalam pengurusan pesakit terutama untuk pembedahan.
“Ini termasuk meningkatkan kompetensi staf menerusi latihan sesuai dan menerokai penggunaan akupuntur sebagai rawatan bukan farmaseutikal bagi mengurangkan kesakitan selepas pembedahan.
“Untuk menggalakkan perkhidmatan selamat dan berkualiti, kementerian telah merumuskan Prosedur Operasi Standard bagi AAA, penilaian sebelum pembedahan dan persediaan pesakit, pemantauan dan pengurusan selepas pembedahan pesakit.
“Kementerian juga akan menjalankan kajian dan audit berpusat di hosipital-hospital kerajaan untuk merumuskan hasil AAA,” katanya.
Dr Subramaniam berkata pada 2011, kerajaan Malaysia dan China telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menjalin kerjasama mengenai perubatan tradisional Cina itu serta pentauliahan pakar-pakar.
“Kita membawa pakar dari Cina ke sini (Malaysia) untuk memberi latihan yang sesuai kepada doktor di sini untuk meneroka penggunaan akupuntur,” katanya. – BERNAMA

