KUALA TERENGGANU – Kes demam denggi yang dilaporkan di Terengganu meningkat kepada 569 setakat 28 Julai berbanding 473 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu, kata Pengerusi Jawatakuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof.
Beliau berkata statistik itu menunjukkan peningkatan kes sebanyak 20.3 peratus iaitu 96 kes pada tahun ini berbanding tempoh yang masa pada tahun 2014.
“Daerah Kuala Terengganu merupakan penyumbang utama kejadian denggi di negeri ini iaitu sebanyak 293 kes diikuti Dungun (121 kes), Kemaman (85 kes), Marang (30 kes), Besut (19 kes), Hulu Terengganu (14 kes) dan Setiu (tujuh kes),” katanya.
Beliau berkata sehingga kini terdapat dua kematian disebabkan denggi di Terengganu iaitu masing-masing satu kes di Besut dan Kemaman.
“Secara keseluruhan, negeri Terengganu telah mencatat penurunan kes denggi yang ketara bagi empat minggu ke belakang sehingga sekarang yang mana hanya antara sembilan hingga 11 kes seminggu dilaporkan jika dibandingkan dengan kejadian kes di awal tahun ini iaitu antara 20 hingga 60 kes seminggu,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata terdapat empat daerah yang menunjukkan peningkatan kes di Terengganu yang mana Dungun mencatat peningkatan kes tertinggi iaitu 121 kes berbanding 27 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
“Ia diikuti Kemaman iaitu 85 kes berbanding 23, Setiu (tujuh kes berbanding empat kes tahun lalu) dan Marang (30 kes berbanding 27 kes tahun lalu).
“Selain itu, sebanyak 16 lokaliti wabak terkawal telah berlaku di Terengganu pada tahun ini iaitu 13 lokaliti di Kuala Terengganu dan tiga lokaliti di daerah Dungun. Bagaimanapun, tiada lokaliti wabak yang masih aktif di Terengganu hingga kini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat di negeri ini menjaga kebersihan di persekitaran rumah mereka bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes dan mengambil keberkatan Syawal untuk terus memastikan kebersihan menjadi fokus utama mereka dalam menjaga kesihatan. – BERNAMA

