GEORGETOWN – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menahan 11 nelayan dan merampas 11 parabola serta ‘decoder’ yang dipasang di rumah mereka di pesisir pantai Kuala Kurau, Perak Rabu lepas.
Ketua SKMM Wilayah Utara Ismail Othman berkata operasi bersepadu di Kuala Kurau dari pukul 9 pagi hingga 6 petang itu dibuat dengan kerjasama pasukan Polis Marin Wilayah 1.
“Hasil pemeriksaan mendapati 11 rumah di kawasan pesisir Batu Kurau itu menggunakan parabola secara haram bagi mendapatkan lebih banyak siaran televisyen dari luar negara.
“Berikutan operasi itu, kami menahan 11 lelaki berusia antara 30 dan 50 tahun yang merupakan pemilik rumah berkenaan untuk diambil keterangan. Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pasukan Polis Marin Wilayah Utara, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Supt Dimin Awang.
Ismail berkata berdasarkan siasatan, 11 lelaki berkenaan mendapatkan khidmat memasang parabola di rumah mereka daripada pihak tertentu dengan bayaran antara RM200 dan RM600.
Beliau difahamkan parabola itu diperolehi dari negara jiran dan pihaknya sedang menyiasat sama ada ia dipasang oleh sindiket tertentu berikutan saiz dan jenama yang digunakan adalah sama.
Berdasarkan siasatan, 11 penduduk berkenaan memasang parabola itu sejak setahun lepas dan nilai rampasan kesemua parabola berkenaan ialah RM6,000, katanya.
“Operasi bersepadu itu adalah untuk mengelakkan orang ramai daripada menggunakan parabola kerana pemilikannya di Malaysia adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – BERNAMA

