MELAKA – Polis Melaka hari ini meminta orang ramai yang pernah menjadi mangsa penipuan jualan pelbagai barangan elektrik dan perabot oleh seorang penganggur, Tan Yaw Chin, 43, supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Supritendan Ee Khong Koy berkata setakat ini penipuan lelaki yang berasal dari Simpang Ampat, Pulau Pinang itu melibatkan kerugian berjumlah RM60,533 sejak Disember tahun lepas.
“Sebanyak 10 laporan polis telah dibuat mangsa. Sembilan melibatkan mangsa dari kawasan Melaka Tengah manakala satu dari Alor Gajah, semua mangsa berusia antara 43 hingga 63 tahun.
“Lelaki itu juga terlibat dalam kes penipuan melibatkan seorang mangsa di Nilai, Negeri Sembilan dan kita percaya terdapat lebih ramai lagi mangsa yang masih belum buat laporan polis,” katanya dalam sidang akhbar di sini Khamis.
Katanya nilai kerugian terendah berjumlah RM3,380 melibatkan kes jualan kereta manakala jualan tertinggi sebanyak RM11,500 melibatkan kes jualan pelbagai barangan elektrik dan perabot.
Ee berkata modus operandi suspek, yang telah ditahan polis di sebuah rumah di Batu Berendam di sini pada 15 Julai lepas, mendekati kebanyakan mangsa di gereja untuk menawarkan pelbagai barangan termasuk perabot, peralatan elektrik, kenderaan dan minuman pada harga yang murah.
Beliau berkata mangsa yang terpedaya dengan tawaran tidak wujud itu kemudian menyerahkan wang secara tunai selain ada juga yang memasukkannya ke dalam akaun bank suspek.
“Kebanyakan mangsa membuat bayaran penuh atau pendahuluan untuk barangan yang dijanjikan tetapi pada masa yang ditetapkan suspek tidak menyerahkan barangan tersebut dengan pelbagai alasan sehingga gagal dihubungi,” katanya.
Katanya antara barangan yang dilaporkan ‘dijual’ kepada mangsa termasuk peti sejuk, penyaman udara, kereta Nissan Almera, set sofa, mesin basuh dan minuman coklat. – BERNAMA

