MELAKA – Polis Melaka akan melakukan siasatan menyeluruh bagi membanteras kegiatan judi dalam talian dalam kalangan anggotanya, kata Timbalan Ketua Polis Melaka SAC Mohd Shahrizan Che Mat Din.
Beliau berkata hasil risikan setakat ini dipercayai lebih daripada lima anggota polis negeri ini terlibat dengan kegiatan judi dalam talian itu, dan seorang daripadanya ditahan dalam serbuan pada pukul 1.15 pagi tadi.
Katanya anggota polis berpangkat koperal berusia 46 tahun itu bertugas di Alor Gajah dekat sini merupakan antara tujuh yang ditahan sedang bermain judi dalam talian di dua premis di Bachang Permai, Batu Berendam di sini dalam serbuan yang diketuainya.
“Hasil siasatan saya sendiri kira-kira 90 peratus penduduk di kawasan itu tahu kegiatan judi dalam talian di premis tersebut dan ia telah berjalan lebih setahun.
Malah saya lihat sindiket tersebut langsung tidak memasang alat keselamatan seperti pintu besi.
Jadi bagaimana mereka jalankan kegiatan sejak sekian lama tanpa pengetahuan polis, ini tidak masuk akal. Kita akan jalankan siasatan terperinci, kita mahu tahu sejauh mana penglibatan anggota polis Melaka dalam perjudian ini,” katanya pada sidang akhbar di Ayer Keroh di sini hari ini.
Mohd Shahrizan berkata hasil siasatan awal terhadap anggota polis yang ditahan itu juga mendapati terdapat anggota polis negeri ini terlibat dengan kegiatan judi dalam talian.
“Sebagai seorang anggota polis ini amat mengecewakan saya, kita memegang amanah melindungi rakyat daripada kegiatan seperti ini tetapi ada segelintir yang cuba merosakkan amanah ini. Polis amat memandang serius perkara ini,” katanya.
Beliau berkata selain siasatan mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, anggota polis itu akan disiasat mengikut peraturan tatatertib Polis Diraja Malaysia yang membawa kepada pelbagai tindakan antaranya turun pangkat dan dibuang kerja.
Mengulas lanjut mengenai serbuan itu, katanya polis turut menahan seorang warga tempatan disyaki pengendali kegiatan judi dalam talian itu bersama pekerjanya iaitu seorang warga Indonesia dan dua warga Bangladesh.
“Serbuan ini dilakukan hasil maklumat daripada media sendiri dan polis juga merampas 49 komputer riba dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut. Kes ini adalah contoh bagaimana media mampu bekerjasama baik dengan polis bagi membanteras jenayah di negeri ini,” katanya. – BERNAMA

