PUTRAJAYA – Kesemua peserta Felo Perdana ditempatkan di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sejak tiga tahun lalu terus berkhidmat secara tetap, kata Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata pegawai khas beliau kini merupakan peserta Felo Perdana yang pertama dan banyak memainkan peranan dalam menguruskan jadual beliau yang padat di dalam negara dan lawatan kerja di luar negara.
“Malah ada lagi tiga pegawai di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang asalnya peserta felo,” katanya yang menerima dua lagi felo pada majlis penyerahan Felo Perdana 2015 kepada Menteri Kabinet di Bangunan Putra Perdana di sini Rabu.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata penglibatan golongan belia dalam pentadbiran awam menerusi program Felo Perdana dapat memberi pendedahan kepada mereka mengenai sistem tadbir urus kerajaan selain membawa idea dan pandangan kepada kerajaan.
Jelasnya, peserta Felo Perdana 2015 yang terpilih berkhidmat di Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan turut diberi peluang untuk memberi pandangan masing-masing.
“Bila mereka datang daripada luar, dan melihat cara kita bekerja dan merasakan cara tersebut tidak lagi sesuai untuk zaman sekarang, mereka akan memberitahu pada kita.
“Kita sebagai pemimpin harus mendengar idea daripada anak-anak muda dan saya mengharapkan program sebegini dapat membantu kementerian dan kerajaan secara keseluruhannya,” katanya
Memasuki tahun ketiga penganjurannya, sebanyak 83 peserta Felo Perdana daripada lebih 50 universiti dari sembilan negara dipilih untuk berkhidmat selama tiga bulan dengan mentor masing-masing yang terdiri daripada menteri kabinet.
Sejak diperkenal dua tahun lalu, lebih 150 Felo Perdana telah mengikuti program tersebut. – BERNAMA

