Sample Page Title

KUANTAN – Bagai jatuh ditimpa tangga, mungkin itulah dapat disimpulkan dengan nasib sebahagian peneroka Felda Bukit Goh apabila mereka bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan masalah pencemaran alam sekitar tetapi juga khuatir ditipu pengusaha lombong bauksit.

Ketua Kampung Felda Bukit Goh Mat Zahari Derahman berkata, mengikut rekodnya kira-kira 200 peneroka daripada lebih 600 peneroka di kawasan Felda itu telah menandatangani perjanjian dengan kontraktor perlombongan bauksit walaupun tidak ada lesen untuk berbuat demikian.

“Kira-kira 200 peneroka Felda Bukit Goh telah berbuat demikian (tandatangani perjanjian), dan mereka dijanjikan dengan bayaran antara RM300,000 hingga RM800,000 bagi empat hektar tanah yang mempunyai hasil bauksit.

“Namun setakat ini hanya 10 peneroka sahaja yang tanah mereka selesai dikeluarkan hasil bauksit dan menerima bayaran, manakala yang lain ada yang sudah menerima deposit sebanyak RM50,000 dan menunggu untuk bayaran seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan Jawatankuasa Penyelaras Masalah Bauksit Bukit Goh di sini yang turut dihadiri 20 pemilik tanah dan peneroka yang terlibat.

Namun malangnya, pokok sawit yang ditanam di tanah peneroka terlibat ada yang telah pun ditebang, tetapi perlombongan masih belum dimulakan.

Kontraktor terbabit difahamkan ada yang bertindak mendiamkan diri dan tidak menjelaskan baki wang pembayaran menyebabkan peneroka terlibat kehilangan mata pencarian.

Tambah meresahkan peneroka apabila Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengeluarkan kenyataan membatalkan 34 lesen perlombongan bijih (MOL)berkuat kuasa 31 Julai sebagai tindakan drastik mengatasi masalah perlombongan haram di kawasan itu.

Tindakan itu dikhuatiri akan menyebabkan kontraktor yang terlibat terus melarikan diri kerana tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa sedangkan dalam masa sama, pokok sawit yang menjadi punca rezeki mereka sudahpun ditebang.

Bagi mengatasi masalah itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bukit Goh Datuk Dr Abd Wahid Abd Manap berkata beliau akan membawa memorandum kepada menteri besar secepat mungkin untuk memohon kepada kerajaan supaya meluluskan permohonan peneroka untuk menjalankan kegiatan melombong.


“Kami dapati hampir keseluruhan kegiatan mengorek bauksit di kawasan itu tidak mempunyai lesen.

“Ini telah disahkan oleh seorang daripada pegawai Jabatan Tanah dan Galian kepada saya dan ia menunjukkan selama ini memang aktiviti perlombongan yang dijalankan di sini adalah haram,” kata Abdul Wahid.

Tambah memeritkan, katanya baru-baru ini 71 peneroka turut menerima notis daripada Pejabat Tanah dan Galian negeri berhubung kesalahan menjalankan kegiatan melombong tanpa lesen dan pajakan yang tidak sah.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu seorang daripada peneroka yang ditemui Husin Ahmad, 78, berkata beliau kini kehilangan mata pencarian RM5,000 sebulan selepas hampir 500 pokok sawitnya ditebang oleh kontraktor yang kononnya ingin menjalankan perlombongan di atas tanahnya.

“Mereka ada membayar RM50,000 sebagai deposit, kemudian mereka tebang pokok sawit pak cik tanpa maklumkan dan menghilang diri selepas itu.

“Apabila ditanya mereka mendakwa bauksit di tanah pak cik tidak cukup berkualiti dan hanya sesuai untuk dijadikan sebagai laluan untuk mengangkut bauksit,” kata Husin.

Sehubungan itu beliau kini sedang berusaha mengesan kontraktor yang terlibat untuk mendapat bayaran pampasan dan berharap dalam masa sama, kerajaan negeri dapat mempertimbang kelulusan segera lesen melombong untuk peneroka di kawasan itu. – BERNAMA

Kategori

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Terkini

Data Pelanggan Hotel Shangri-La Digodam

SINGAPURA: Rangkaian hotel mewah Kumpulan Shangri-La memaklumkan pangkalan data pelanggannya di lapan negara Asia...

Korea Utara Didakwa Lancar Dua Peluru Berpandu Balistik

SEOUL: Tentera Korea Selatan mendakwa Pyongyang melancarkan dua peluru berpandu balistik pada awal pagi...

Raja Permaisuri Agong Seru Kerajaan Tubuh Pusat Latihan Demensia

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, hari ini menyeru...

KPDNHEP Bincang Isu Bekalan Telur Ayam Isnin Ini

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengadakan Mesyuarat...

Angka Korban Letupan Bom Di Kabul Meningkat Kepada 35 Orang

KABUL: Angka kematian akibat serangan bom berani mati di sebuah pusat pendidikan di ibu...

KSM Lulus 541,315 Kuota Pengambilan Pekerja Warga Asing

PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia (KSM) meluluskan sejumlah 541,315 kuota pengambilan pekerja warga asing...

Dua Lelaki Bermotosikal Tembak Kereta Di Sitiawan

LUMUT – Dua lelaki menaiki sebuah motosikal menembak cermin belakang sebuah kereta yang diparkir...