ALOR SETAR – Kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam membanteras lambakan aksesori kenderaan tidak mengikuti spesifikasi, dijangka bermula dalam tahun ini.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad berkata buat masa ini pihaknya telah mengadakan mesyuarat dengan KPDNKK bagi membincangkan isu berkenaan.
“Kita telah adakan mesyuarat, tapi dari segi pelaksanaan bersepadu kita belum lagi, insya-Allah tahun ini boleh mulakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa di pejabat JPJ Alor Setar di sini malam tadi.
Beliau berkata kerjasama JPJ dan KPDNKK adalah satu bentuk kerjasama yang cukup baik supaya penguatkuasaan undang-undang jalan raya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Ini adalah kerana terdapat 25,000 kedai aksesori kenderaan di seluruh negara , ditambah dengan lebih 24 juta kenderaan di atas jalan raya dan ini menyukarkan penguatkuasaan di peringkat pemilik kenderaan, katanya.
Media sebelum ini mendedahkan mengenai isu lambakan penjualan aksesori kenderaan dan alat ganti kenderaan yang tidak menepati spesifikasi ditetapkan seperti cermin gelap dan lampu High-Intensity Discharge (HID).
JPJ kemudiannya mencadangkan agar diberikan kuasa untuk membanteras penjualan aksesori berkenaan tetapi KPDNKK baru-baru ini menjelaskan ia masih belum bersedia menurunkan kuasa penguatkuasaan berkenaan kepada JPJ.
Sebaliknya KPDNKK mencadangkan operasi bersepadu antara kedua belah pihak dilaksanakan bagi mengatasi masalah itu.
Beliau menambah, perkara itu dipandang serius pihaknya memandangkan penggunaan barang-barang yang tidak mengikuti standard piawaian antarabangsa ataupun piawaian diluluskan SIRIM Bhd menyumbang kepada kadar kemalangan di negara ini.
Pada majlis yang sama, beliau berkata Malaysia perlu mengurangkan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya yang kini berada pada 2.6 kepada 2.0 seperti yang dicapai oleh negara maju.
Ismail berkata kedudukan indeks berkenaan pada 2.6 bermaksud kematian rakyat Malaysia bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar ialah 2.6 orang dan angka ini perlu dikurangkan selaras dengan hasrat negara untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.
Beliau berkata, negara-negara maju kebiasaanya mempunyai indeks kematian 2.0 dan ke bawah yang dicapai menerusi kesedaran pengguna jalan raya yang tinggi, bukan semata-mata kerana rakyat mereka takutkan agensi penguatkuasaan dan undang-undang.
Pada tahun lepas katanya jumlah kemalangan yang dicatatkan berjumlah 480,000 kes dengan 6,674 kematian melibatkan kos sosial yang perlu ditanggung kerajaan sebanyak RM9 bilion.
Justeru beliau berkata, pihaknya kini giat memperkasa peranan Skuad Muda Satu JPJ (SMSJ) dengan menyasarkan 500,000 keanggotaannya menjelang pertengahan tahun hadapan daripada 170,000 orang di seluruh negara setakat ini.
“Untuk bergerak dengan berkesan perlukan volume (keanggotaan yang ramai), kerana nak gerakkan ia sebagai satu gelombang kesedaran masyarakat terhadap keselamatan jalan raya,” katanya.
SMSJ yang dianggotai sukarelawan bagi membantu petugas JPJ dalam memastikan pengguna mematuhi peraturan jalan raya yang diperkenal Ogos 2013, juga bertindak sebagai kumpulan sokongan kepada JPJ yang kekurangan tenaga kerja dalam memantau lebih 24 juta kenderaan yang didaftarkan di Malaysia. – BERNAMA