PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini dilengkapi aset baharu untuk penggembelengan lebih berkesan mengawal kebakaran hutan.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata aset baharu itu melibatkan 240 set jentera kebakaran hutan, 50 unit pam mudah alih dan 100 unit empangan mudah-alih.
“Peralatan baharu ini adalah tambahan kepada peralatan sedia ada,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kesemua aset tersebut yang bernilai RM10.8 juta diterima JBPM pada penghujung tahun lepas adalah berguna untuk mengawal kebakaran hutan gambut.
Wan Mohd Nor berkata JBPM membuat permohonan kepada kerajaan untuk mendapatkan peralatan baharu setelah membuat penilaian dari segi aset dan kemampuan jabatan selepas musim kemarau pada awal tahun lepas.
Laporan media baru-baru ini menyebut cuaca panas dan kering sudah bermula dan dijangka berterusan sehingga hujung Ogos ini kerana negara sedang melalui fasa aktif monsun barat daya.
Wan Mohd Nor berkeyakinan JBPM dapat menangani masalah kebakaran hutan dengan lebih baik pada tahun ini berdasarkan pengalaman tahun lalu dan dengan adanya aset baharu tersebut.
“Persediaan JBPM untuk cuaca panas dan kering tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya.
Tahun lepas, JBPM dilaporkan menerima kira-kira 10,000 laporan berkaitan kebakaran dalam tempoh sebulan di seluruh negara berikutan cuaca panas dan kering.
Turut dilaporkan ialah pusat panggilan kecemasan bomba di seluruh negara menerima sehingga 500 panggilan sehari bersabit pelbagai jenis kebakaran.
Kebakaran membabitkan hutan, belukar dan lalang antara kes paling tinggi yang diterima ketika cuaca panas tahun lalu. – BERNAMA

