GEORGETOWN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan sebuah bot bersama lima nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara pada kedudukan 27 batu nautika barat daya Pulau Kendi, dekat sini semalam.
Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Maritim 2 Pulau Pinang, Laksamana Pertama Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata bot nelayan tradisional itu ditahan pada pukul 4.50 petang kerana didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.
“Semasa ditahan, lima lelaki Indonesia berusia 30 hingga 56 tahun itu sedang menangkap ikan menggunakan rawai,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati bot nelayan yang tidak bernombor itu berpangkalan di Pantai Labu Medan, Indonesia dan berada di laut untuk menangkap ikan sejak lima hari lepas.
Kamaruszaman berkata bot itu dibawa balik ke Jeti Limbungan Batu Maung, di sini dan sebanyak 200 kilogram pelbagai jenis ikan serta peralatan menangkap ikan dirampas.
Seorang daripada nelayan yang ditahan itu pernah ditangkap oleh Maritim Pulau Pinang dua tahun lepas kerana menceroboh perairan sama dan dijatuhkan hukuman enam bulan penjara, katanya. – BERNAMA

