CHINA – Seorang wanita berjaya menemui semula anaknya yang diculik di sebuah pusat beli belah hanya dalam masa dua jam hasil keberkesanan media sosial yang membantu menyebarkan gambar penculik dan bayi berkenaan.
Ketika kejadian, wanita itu, Chen dan suaminya, Zhou bersama anak mereka, Mengmeng yang berusia lima bulan serta neneknya berada di pusat beli belah itu kerana Chen dan suaminya terlibat dalam penganjuran aktiviti untuk orang tua di situ.
Pada masa itu, Mengmeng ditinggalkan bersama neneknya. Ketika itu seorang wanita menghampiri Mengmeng dan meminta izin daripada neneknya untuk mendukung bayi itu sekejap.
Nenek Mengmeng yang menyangka wanita itu kenalan anak dan menantunya, kemudian memberikan Mengmeng kepadanya untuk didukung namun secara tiba-tiba dia melarikan diri sambil mendukung bayi tersebut.
CCTV kemudiannya menunjukkan rakaman wanita itu melarikan Mengmeng dan kemudian menaiki bas.
Imej wanita itu dan Mengmeng kemudian disebarkan dalam media sosial, dan nasib baik ia dilihat oleh jiran wanita berkenaan yang turut melihat wanita terbabit membawa pulang seorang bayi.
Dia kemudiannya menghubungi polis dan memaklumkan perkara itu. Mengmeng akhirnya berjaya ditemui.
Menurut pihak berkuasa, wanita yang menculik Mengmeng itu dikenali sebagai Wang dan menghidap masalah mental akibat perpecahan dalam keluarganya.
Dia menjadi tidak siuman apabila ibu bapanya bercerai dan pernah menjadi mangsa culik serta pernah menggugurkan anak. Namun Wang menyayangi kanak-kanak. – MYNEWSHUB.CC
Video Oleh Eksperimen TV Isu Kehilangan & Pengabaian Kanak-Kanak




