PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter membuat pengumuman mengejutkan apabila mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan selepas baharu sahaja dipilih semula untuk menerajui badan induk bola sepak dunia buat penggal kelima.
Blatter, 79, mengumumkan keputusannya itu pada sidang akhbar di Zurich, Switzerland, semalam, enam hari selepas Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menyerbu dan menggeledah hotel di bandar ini dan menahan beberapa pegawai FIFA kerana skandal rasuah.
Blatter yang sudah menerajui FIFA selama 17 tahun dan dipilih semula Jumaat lalu, berkata satu kongres baharu akan diadakan dalam tempoh terdekat untuk memilih penggantinya.
Badan bola sepak itu kini dilanda imej buruk selepas beberapa pegawainya disyaki terlibat dalam skandal rasuah dan Blatter berkata FIFA perlukan satu ‘penyusunan semula menyeluruh’ dan beliau sudah membuat pertimbangan mendalam berhubung jawatannya itu sejak dipilih semula.
Enam hari lalu, polis Switzerland menahan tujuh pegawai FIFA termasuk dua naib presiden.
Tangkapan mereka dibuat bagi pihak berkuasa Amerika Syarikat yang menuduh tujuh pegawai berkenaan serta lapan suspek lain terbabit dalam rasuah bernilai AS$150 juta (RM548 juta). – MYNEWSHUB.CC
Oleh:  JASMINÂÂ

