KUANTAN – Mayat mangsa lemas, Ahmad Tarmizi Shafie, 30, yang hilang semasa memasang jaring ikan di Lubuk Beruk, Air Terjun Pelangi dekat Sungai Lembing di sini sejak Sabtu lepas akhirnya ditemui Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz berkata, mayat pemancing yang berasal dari Kampung Serkam Pantai, Merlimau, Melaka itu ditemui pasukan penyelamat pada pukul 10.30 pagi.
“Mangsa ditemui terapung di sungai itu oleh pasukan Scuba Bomba kira-kira 20 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
“Keluarga mangsa juga sudah dimaklumkan dan mangsa telah dibawa oleh pasukan Bomba ke Balai Polis Sungai Lembing sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini.
Dalam kejadian pukul 11 pagi itu mangsa telah dihanyutkan air sungai dan lemas semasa memasang jaring bersama dua rakannya di sungai berkenaan.
Mangsa bersama tiga rakannya dari Kuala Lumpur dikatakan berkhemah dan bermalam di situ sejak Jumaat lepas. – BERNAMA

