SEMENJAK pelakon Izzue Islam menyatakan pendiriannya dengan memilih untuk tidak bersentuhan dengan bukan mahram ketika berlakon, timbul pelbagai kontroversi mengaitkan nama isteri selaku pengurusnya, Awin Nurin.
BACA: Isteri Cemburu.. Izzue Islam Enggan Bersentuhan Heroin Dah?
Terbaharu, muncul dakwaan kononnya Awin bertindak tidak profesional dengan mengarahkan penggambaran drama dihentikan kerana terdapat adegan bersentuhan antara Izzue dan wanita lain.
Susulan itu, Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 25 menafikan dakwaan tersebut sebaliknya berkata, apa sahaja yang berlaku ketika di set penggambaran adalah atas arahan pengarah dan mengikut skrip yang sudah dipersetujui bersama.
“Awin tidak pernah minta hentikan penggambaran, begitu juga saya kerana hak sepanjang penggambaran adalah atas kuasa pengarah dan ia adalah mengikut skrip yang kami setujui.
“Perkara tentang bersentuhan itu kami sudah jelaskan awal-awal lagi dan pengarah selalunya yang akan tukar babak tersebut bukan saya atau Awin yang memandai-mandai.
“Isu ini tidak perlu timbul lagi kerana semua pihak sudah jelas dan apa-apa tawaran selalunya mereka sudah maklum tentang syarat itu, barulah kami setuju,” katanya.
Menurut Izzue, sejak mempraktikan syarat tersebut, dia tidak pernah berhadapan dengan sebarang masalah melibatkan pengarah dan pelakon-pelakon lain.
Dalam pada itu, Awin akui dirinya merasa kesal dengan tuduhan ramai terhadap dirinya dan sukar baginya untuk menjelaskan pekara tersebut kepada pihak-pihak lain. – MYNEWSHUB .CC
Oleh: CARRIE
Sumber: mStar Online