Monday, July 22, 2024

Creating liberating content

‘Culik Diri Sendiri’ Kerana...

MEXICO – Hanya kerana malu isterinya berpendapatan lebih tinggi daripadanya, seorang lelaki, Eliot...

Kelantan Perlu Tingkat Prestasi,...

KOTA BAHARU - Kekalahan pada perlawanan pramusim Liga Malaysia memberi isyarat kepada pemain...

Pusat Anak Yatim, Tahfiz...

KUANTAN - Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan semua rumah...

Ustaz Azhar Idrus Dimasukkan...

PETALING JAYA: Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai Ustaz UAI...

Ikon Filem Seram Christopher Lee Meninggal Dunia

LONDON – Pelakon Britain, Sir Christopher Lee, yang terkenal sering memainkan watak jahat dalam filem seram selain tampil menerusi blockbuster seperti Star Wars dan Lord of the Rings, meninggal dunia pada usia 93 tahun.

Media Britain pada Jumaat melaporkan, ikon legenda perfileman itu sebenarnya sudah meninggal dunia pada Ahad lalu di Hospital Chelsea Westminster, tempat mendiang sering menjalani rawatan bagi masalah pernafasan.

Ejen Lee, dalam kenyataan menerusi e-mel berkata, keluarga aktor tersebut tidak mahu memberi sebarang komen lebih terperinci kerana masih lagi bersedih dan mahu mereka diberi sedikit ruang privasi sepanjang berkabung.

Berita kematian mendiang tanpa dinyatakan puncanya diumumkan isterinya sendiri, Birgit Kroncke, warga Denmark yang dikahwininya pada 1961; dan pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan, Christina Erika.

Pelakon kelahiran London itu menjadi terkenal pada akhir 1950-an hingga 1970-an dengan watak seram seperti Dracula, Monster Frankenstein dan Mummy bagi syarikat penerbitan filem antarabangsa, Hammer Films.

Dengan suara yang dalam tetapi merdu dan susuk tubuh dengan ketinggian 1.93 meter, mendiang Lee merupakan bintang filem seram berbahasa Inggeris yang terakhir, selepas kematian bintang-bintang era filem senyap.

Beliau dianggap setaraf legenda aktor seram seperti Lon Chaney, Bela Lugosi, Boris Karloff, Vincent Price dan Peter Cushing, yang sering digandingkan dengan Lee menerusi filem-filem terbaik terbitan Hammer Films.

Bakat mendiang Lee dalam lakonan layar perak malah menjadi rebutan ramai pengarah filem ‘pecah panggung’ terkemuka Hollywood, lebih-lebih lagi pada tahun-tahun akhir dalam dunia kerjaya seninya.


Lee memainkan watak genius jenayah Fu Manchu dalam sekuel lima buah filem, watak jahat Scaramanga dalam filem James Bond ‘The Man with the Golden Gun, bahkan juga watak Sherlock Holmes dalam beberapa filem.

Mendiang juga berjaya memikat generasi baharu selepas menghidupkan watak jahat Count Dooku dalam Star Wars: Episode II – Attack of the Clones (2002) dan Star Wars: Episode III – Revenge of the Sith (2005).

Beliau juga menyandang watak ahli sihir Saruman dalam trilogi Lord of the Rings pada 2001, 2002 dan 2003, serta The Hobbit: An Unexpected Journey (2012) dan The Hobbit: The Battle of the Five Armies (2014).

Lee juga pernah tampil dalam filem arahan sutradara ternama Martin Scorsese menerusi filem Hugo (2011) dan Dark Shadows (2012) arahan Tim Burton, bergandingan sama dengan aktor popular, Johnny Depp.

Mendiang atau nama sebenarnya Christopher Frank Carandini Lee, dilahirkan pada 1922, dan mula berlakon atas cadangan seorang sepupunya, selepas berkhidmat dalam tentera udara diraja Britain zaman Perang Dunia Kedua.

Beliau yang juga sepupu tiri, Ian Flemming, pencipta siri perisikan James Bond; pertama kali tampil berlakon filem pada 1947 dan terus aktif dalam lebih 200 filem sepanjang hayatnya. - Agensi/Mynewshub/H.A.A

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori