SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 21 Ogos ini untuk menyebut semula kes pemilik syarikat Bendang Afwa Enterprise yang menghadapi pertuduhan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.
Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid memutuskan perkara itu selepas peguam Collin Arvind Andrew memaklumkan bahawa anak guamnya, Farah Jamiah Fikri telah memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan ke atasnya itu di Mahkamah Tinggi pada 12 Jun lepas.
“Mahkamah Tinggi telah menetapkan 24 Jun ini untuk pengurusan kes,” katanya.
Farah Jamiah, 35, sebagai orang berdaftar di bawah Akta GST 2014 yang membuat pembekalan bercukai, didakwa mengeluarkan sekeping invois cukai yang tidak mengandungi butir-butir ditetapkan di bawah Seksyen 22, Peraturan-Peraturan GST 2014 di Restoran Bendang beralamat di 47-G, Jalan Setia Indah X, U13/X, Setia Alam, Seksyen U13 di sini, pada 2.06 petang, 14 April lepas.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 33 (2)(b) Akta GST dan boleh dihukum di bawah Seksyen 96 Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Hazril Harun hadir bagi pihak pendakwaan. – BERNAMA

