KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan debat secara terbuka dan di khalayak ramai antara beliau dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak wajar diadakan kerana ia tidak membawa sebarang kebaikan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) memandangkan kedua-dua mereka daripada parti politik yang sama.
Menurut Najib, sebagai Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO, beliau bertanggungjawab untuk menjaga nama baik kerajaan dan juga parti.
“Tun Mahathir berhak bertanya dan saya sanggup memberi penjelasan kepada beliau. Ini saya lakukan agar perkara munasabah yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir dapat dijelaskan,” katanya dalam catatan terbaru di blog beliau, NajibRazak.com Rabu, yang turut mengulas mengenai pembatalan dialog beliau bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang sepatutnya diadakan pada 5 Jun lalu.
Jelas Perdana Menteri, beliau menerima undangan untuk menghadiri majlis dialog tertutup bersama NGO yang ditentukan oleh pihak penganjur iaitu Sukaguam dan JASA (Jabatan Hal Ehwal Khas) itu pada 19 Mei lalu.
“Saya hargai jemputan mereka dan setuju untuk hadir ke majlis yang dinamakan ‘Dialog PM bersama NGO’ ini untuk berdialog mengenai isu-isu semasa. Sesi dialog ini, antaranya, akan menjelaskan bahawa wang 1MDB sebanyak RM42 bilion tidak lesap sebagaimana yang telah didakwa oleh Tun Mahathir.
“Dalam hal ini, sukacita saya memaklumkan bahawa pihak Kementerian Kewangan bersama-sama 1MDB telah menjana satu pelan rasionalisasi untuk mengurangkan tahap hutang syarikat tersebut.
“Baru-baru ini, 1MDB telah berjaya membuat pembayaran sebanyak RM3.6 bilion ke arah mencapai matlamat ini. Namun, amat dukacita apabila usaha ini tidak disambut baik oleh pihak yang mengkritik hutang 1MDB,” katanya.
Bagaimanapun, Najib berkata majlis berkenaan telah bertukar format daripada satu majlis dialog tertutup kepada majlis pembahasan terbuka.
Katanya perubahan-perubahan seperti itu akan mengakibatkan majlis berkenaan menjadi pencetus konfrontasi politik terbuka antara Tun Mahathir dengan beliau.
Perdana Menteri berkata beliau kesal apabila acara tersebut terpaksa dibatalkan atas alasan keselamatan dan niat beliau untuk berdialog dengan NGO yang diundang tidak dapat diteruskan.
Bagaimanapun, Najib berkata beliau akan terus menyampaikan maklumat dalam apa jua cara yang baik dan berhemah, termasuklah menerima undangan daripada pihak NGO dan mengadakan perjumpaan dengan kumpulan NGO pada masa akan datang. – BERNAMA

