KUALA TERENGGANU – Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) yang dikendalikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Terengganu mencatatkan jumlah nilai jualan RM4.4 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata bagi meningkatkan lagi pendapatan pihaknya merancang mewujudkan sekurang-kurangnya empat lagi AKR di negeri ini tahun ini.
“Ini satu peluang bagi mengukuhkan ekonomi kumpulan sasar,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya kini terdapat 18 AKR di Terengganu iaitu lima di Kuala Terengganu, Marang (tiga), Hulu Terengganu (empat), Dungun (lima) dan Kemaman (satu).
Beliau berkata mungkin pada masa akan datang buah-buahan bermusim di Terengganu seperti durian, duku, langsat dan sebagainya akan dipasarkan melalui AKR bagi mengelakkan masalah lambakan.
“Dengan cara itu, tidak secara langsung ia membantu pekebun-pekebun kecil di negeri ini,” katanya.
Di bawah pembangunan usahawan, Hasan berkata di Terengganu terdapat Gerai Buah-buahan Segar (GBBS) yang dikendalikan Fama.
Beliau berkata sehingga kini terdapat lebih 30 GBBS di seluruh Terengganu dan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.171 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Katanya di samping itu terdapat juga usahawan bermotosikal tiga roda (M3R) dan dalam tempoh lima bulan pertama ini nilai jualan mereka melebihi RM380,000.
Beliau berkata yang terbaru Fama akan mewujudkan usahawan karavan memandangkan permintaan yang sangat memberangsangkan. – BERNAMA

