ALOR SETAR – Tiga anak muda meneruskan Kembara Berjalan Kaki 1Semenanjung Malaysia di bulan puasa untuk membersihkan masjid.
Annas Aiman Jaffry, 27 dan adiknya, Muhamad Aidil, 24, serta rakan mereka Muhd Izammuddin Aliddin, 25, mempunyai strategi tersendiri iaitu keluar berjalan kaki selepas bersahur ke masjid lain yang terpilih.
Annas Aiman berkata, mereka memendekkan jarak perjalanan mereka daripada 40 kilometer kepada 20 kilometer sehari sebelum berhenti di masjid terpilih bagi menjalankan kerja-kerja membersih masjid.
“Kami bertolak awal pagi dalam keadaan cuaca yang sejuk. Kita juga boleh sampai awal ke masjid sebelum menjalankan kerja-kerja pembersihan,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Zahir di sini hari ini.
Penyelia stor sebuah syarikat farmasi di ibu negara itu berkata, selepas aktiviti mencuci di kawasan masjid itu selesai mereka akan berada di masjid itu bagi mengikuti pelbagai program keagamaan yang diadakan. – BERNAMA

