KOTA TINGGI – Polis memberkas dua lelaki berusia 41 dan 47 tahun bersama tiga jenis dadah bernilai RM38,000 di sebuah rumah di Blok 13 Jalan Mangga, Felda Linggiu dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata dalam serbuan pada pukul 8.30 pagi itu polis menjumpai 89 gram heroin, 32 gram syabu dan tiga biji pil Eramin 5 dalam sebuah beg berzip berwarna hitam yang dipercayai diperolehi dari Pekan Kelapa Sawit, Kulaijaya.
“Nilai dadah (itu) dalam pasaran RM38,000 dan bekalan boleh menampung sehinga 70 orang (penagih),” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rahmat juga berkata polis menahan seorang penganggur yang juga penagih dadah tegar berusia 44 tahun, dipercayai mengedar dadah di sekitar Felda Air Tawar 4 dan Felda Air Tawar 5, baru-baru ini.
Turut dirampas daripada lelaki itu ialah 96 gram heroin, 11 gram syabu, 70 biji pil jenis Yaba dan 20 biji pil Eramin 5 bernilai RM23,000 yang boleh menampung keperluan 100 penagih, katanya.
“Setakat ini, kita percaya suspek bergerak seorang diri dan bekalan dadah itu diambil dari Ulu Tiram, Johor Baharu namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya lagi.
Rahmat berkata suspek yang ditahan ketika sedang asyik mengambil dadah, memiliki tiga rekod lampau dadah dan kes itu kini di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya 1952.
Bagaimanapun, beliau berkata ketiga-tiga mereka tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain dan dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=wqsFGQ9CH0Y

