PULANGAN keuntungan yang diperolehi daripada pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperlukan untuk meningkatkan daya saing negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata GST mempunyai nilai positif yang tersendiri yang mana akhirnya akan membawa kebaikan untuk tempoh jangka masa panjang buat rakyat dan negara.
“Kami akan mewar-warkan lebihan wang (daripada GST) digunakan untuk apa… dan kita mesti mempunyai kepercayaan kepada kerajaan memandangkan semua perkara ini membawa kepada kebaikannya,” kata beliau memetik New Straits Times.
Najib turut menyatakan dengan pengenalan cukai tersebut dapat memberi pilihan kepada kerajaan untuk mengurangkan kadar cukai perseorangan.
Untuk meningkatkan daya saing negara, beliau turut menambah pucuk pimpinanannya dalam perancangan untuk menurunkan kadar cukai korporat.
“Cukai korporat di Thailand sudah berkurangan kepada 20 peratus dan Singapura pula 17 peratus. Jadi, kerajaan akan mengambil langkah yang sama untuk kita terus menjadi lebih berdaya saing.
“Kita perlu ada sumber pendapatan negara seperti GST. Kita akan terus menambah baik pelaksanaannya,” kata beliau lagi.
Kadar cukai korporat di Malaysia kini adalah sebanyak 25 peratus. – MYNEWSHUB.CC
Oleh:  JULIANA JOHAR

