KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berbohong kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk mewujudkan kerajaan perpaduan.
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, PKR menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Anwar atau mana-mana pimpinan parti itu pernah bersetuju dengan idea sebuah kerajaan perpaduan.
Dakwa Rafizi, PKR melihat perbuatan Abdul Hadi itu satu cubaan untuk mengheret parti dalam kemelut dalaman yang sedang dihadapi PAS waktu ini.
“Saya diberi mandat oleh Biro Politik PKR untuk menafikan sekeras-kerasnya bahawa Anwar atau mana-mana pimpinan parti telah atau pernah bersetuju dengan idea bergabung dengan UMNO di dalam sebuah kerajaan perpaduan seperti yang dirujuk oleh Presiden PAS semalam.
“PKR berharap kami tidak diheret di dalam persoalan dalaman PAS,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Abdul Hadi semalam mendakwa idea kerajaan perpaduan pernah dipersetujui Anwar dan bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Menurut Abdul Hadi, idea digagaskan sebenarnya meliputi penyatuan semua parti ke dalam parti tunggal yang membentuk kerajaan selepas berlaku krisis perlembagaan di Perak.
- MYNEWSHUB.CC

