BAGI yang ingin bersarapan dalam suasana unik dan lain daripada yang lain, anda wajib mengunjungi gerai Qawwam yang terletak di Felda Bukit Cerakah arah Meru berhampiran Puncak Alam, Selangor.
Gerai ini bukan sahaja menyajikan menu sarapan seperti roti canai dan nasi lemak malah anda akan diceriakan dengan aksi penebar roti canai dan pelayan yang segak berbusana Melayu Asli tak ubah persis hulubalang dan pendekar.
Lebih menarik, kesemua pekerja lengkap dengan aksesori dan tanjak di kepala ini sibuk melakukan tugas masing-masing seperti membancuh air, membuat pengiraan, membuat roti canai dan melayan pelanggan.
Sekali pandang, tidak keterlaluan dikatakan memasuki ruangan gerai ini persis memasuki alam Melayu lama yang sering dipertontonkan dalam filem dahulukala.
Berusaha memperjuangkan adat dan Melayu asli, gerai Qawwam ini berpegang teguh kepada konsep ‘Melayu Bertakhta, Berdaulat dan Beraja’.

Penyelia gerai, Mior Yazid Abdul Manaf, 46 mengakui pada awalnya terkejut dengan sambutan luar biasa pelanggan yang sanggup datang dari jauh semata-mata ingin merasai suasana unik di situ.
“Ramai yang tanya sama ada kami panas atau tak berpakaian macam ni.
“Saya jawab ‘tidak’ sebab kami sudah terbiasa dengan pakaian macam ini, bukan setakat di gerai ini saja, kadang-kadang ke pasar malam pun kami pakai pakaian Melayu asli ini,” katanya yang sering diajukan soalan itu.
Gerai yang dibuka setiap hari jam 7 pagi ini sememangnya mewajibkan para pekerjanya memakai pakaian Melayu asli sejak 1996.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: CARRIE
Sumber: mStar Online





