KOTA BAHARU – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas setelah disamun dua lelaki bersenjatakan pistol dan parang di rumahnya di Bandar Baru Kubang Kerian di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, pasangan suami isteri berusia 34 dan 31 tahun yang juga merupakan doktor di sebuah hospital di sini sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan dua lelaki terbabit.
Wanita berkenaan berkata penjenayah terbabit dipercayai masuk ke dalam rumah melalui tingkap dengan menanggalkan cermin dan memotong gril.
Beliau berkata suaminya turut dipukul menggunakan senjata keras menyebabkannya cedera di bahagian kepala.
“Penyamun juga menumbuk suami saya beberapa kali sebelum dia diikat menggunakan tali dan mereka kemudiannya mengambil barangan berharga seperti barang kemas dan komputer riba,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit turut melarikan dua buah kereta jenis Mitsubishi Lancer dan Honda City miliknya yang diletakkan di bahagian garaj rumah berkenaan.
Katanya akibat kejadian itu, beliau dan suaminya terpaksa berjalan kaki sejauh satu kilometer ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Rohaimi Md Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=qeftywF9yEQ

