KUALA LUMPUR — Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini
melahirkan sokongan padu kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai
presiden dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden parti itu.
Najib berkata barisan MT UMNO mahu supaya presiden dan timbalan presiden
serta pimpinan tertinggi parti bersatu dalam satu pasukan dan mengambil tindakan
positif untuk kukuhkan lagi kedudukan parti itu dan Barisan Nasional (BN) di
sisi rakyat.
“Dengan keputusan itu, maka MT (UMNO) juga kata kalau ada isu
berbangkit, MT harap mereka diberi peluang untuk menyumbang idea bernas dan
positif supaya sebarang isu berbangkit boleh ditangani dan diberi penyelesaian
yang sewajarnya,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan
mesyuarat MT di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Mesyuarat itu, yang bermula 3.30 petang dan berakhir 7 malam ini, turut
dihadiri Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri serta dua Naib Presiden
iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Semua ketua sayap parti iaitu Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul
Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati
Samsudin turut menghadiri mesyuarat itu.
Dalam sidang media ringkas selama lima minit itu, Najib berkata beliau juga
amat menghargai sumbangan idea bernas diberikan Muhyiddin pada mesyuarat itu.
“Saya dah berjumpa hati ke hati dengan beliau pagi tadi dan saya beri
pengakuan kita akan selalu bincang hati ke hati untuk pastikan bahawa kepimpnan
UMNO di peringkat pucuk pimpinan dalam keadaan selesa dan kukuh supaya tiada
pihak akan pecah-belahkan kita terutama sekali saya dengan timbalan presiden.
“Jadi, kalau ada apa-apa berita angin yang tersebar sebelum mesyuarat ini,
maka, kecewalah mereka yang menyebarkan berita-berita palsu tersebut,” katanya.
Najib berkata demikian bagi mengulas laporan portal berita yang kononnya
sokongan terhadap beliau semakin berkurangan.
Mengenai mesyuarat MT UMNO hari ini, Najib berkata parti turut
mengambil maklum mengenai faktor-faktor berbangkit pada Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen Rompin dan Permatang Pauh.
Pada PRK Rompin Selasa lepas, BN mengekalkan kerusi Parlimen itu menerusi
calonnya Datuk Hasan Arifin yang memperoleh 23,796 undi berbanding calon PAS
Nazri Ahmad, 40, yang mendapat 14,901 undi yang menyaksikan penurunan majoriti
kepada 8,895 undi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13, penyandang kerusi itu Allahyarham Tan Sri
Dr Jamaluddin Jarjis mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal
itu dengan mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh
dengan majoriti 15,114 undi.
PRK Rompin diadakan berikutan kematian Jamaluddin dalam nahas helikopter di
Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.
Di PRK Permatang Pauh Khamis lepas, kerusi Parlimen itu dimenangi Presiden
PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang meraih 30,316 undi berbanding calon
BN Suhaimi Sabudin yang mendapat 21,475 undi, yang turut menyaksikan penurunan
majoriti kepada 8,841 undi.– BERNAMA

