KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengajak seluruh rakyat di negeri ini agar terus mengekalkan perpaduan, rasa kekitaan dan toleransi bagi memastikan keharmonian hidup lebih 32 kumpulan suku kaum dan etnik di Sabah terus terpelihara.
Beliau berkata rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan cubaan pihak tertentu untuk merosakkan perpaduan dan keharmonian yang sudah sekian lama dikecapi di negara ini apatah lagi cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk membawa Sabah keluar dari Malaysia.
“Tindakan ini sebenarnya memberi lebih banyak kesan negatif kepada kita, masyarakat di negeri ini. Sehubungan itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat untuk merapatkan barisan dan berdiri teguh demi negara Malaysia yang tercinta ini. Saya yakin rakyat bijak berfikir dan bersikap matang dan tidak mungkin terpengaruh dengan agenda mereka,” katanya.
Musa berkata demikian dalam perutusannya sempena sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini.
Menurut Musa seperti negeri lain, Sabah pesat membangun seiring dengan agenda pembangunan nasional untuk meningkatkan pendapatan rakyat melalui penyediaan peluang pekerjaan dan latihan di institusi pendidikan serta latihan dan Sabah akan terus komited melaksanakan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).
Musa berkata kesemua inisiatif berkenaan adalah bagi melonjakkan kemajuan ekonomi negeri dengan memfokuskan kepada pelancongan, pemprosesan hiliran minyak dan gas serta minyak sawit.
Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) baru-baru ini yang merangkumi rancangan dan pelan pembangunan Malaysia untuk lima tahun akan datang, fasa terakhir sebelum mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
“Sehubungan itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Sabah untuk bersama-sama kerajaan menyokong hasrat dan aspirasi ini agar matlamat RMK11 dapat direalisasikan,” katanya.
Mengenai insiden penculikan di Sabah baru-baru ini, Musa berkata insiden berkenaan tidak sepatutnya berulang kerana ia memberi kesan negatif terhadap industri pelancongan serta keyakinan pelabur terhadap negeri Sabah.
Sehubungan itu Musa mahu langkah segera diambil dan digerakkan bagi mengukuhkan lagi Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone) dengan aset lebih relevan dan berkesan seperti helikopter tempur untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan khususnya di pantai timur Sabah, supaya rakyat dan pelancong merasa selamat.
Bagaimanapun katanya orang awam juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan tindakan mencurigakan kepada pihak keselamatan manakala syarikat perniagaan perlu menghentikan pengambilan pekerja asing tanpa dokumen yang sah kerana ini juga menjadi risiko keselamatan kepada negeri Sabah. – BERNAMA

