KUALA LUMPUR – Generasi muda digesa mengembangkan minat dan memperkukuhkan budaya keusahawanan untuk membantu memacu Malaysia agar terus melangkah ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata golongan muda perlu tampil dan menceburi bidang keusahawanan yang merupakan sebahagian daripada pembangunan negara.
“Peranan anda sangat penting … saya mahu lihat lebih banyak yang tampil ke hadapan.
“Apa yang penting adalah untuk membangunkan minat dan memberi tumpuan dalam menyuburkan semangat keusahawanan,” katanya ketika beliau singgah di ruang pameran program Keusahawanan 1Malaysia (1MET) pada hari terbuka Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Program 1MET yang merupakan sebahagian daripada inisiatif NBOS adalah satu daripada siri latihan keusahawanan untuk membimbing dan membantu usahawanan muda dalam asas keusahawanan supaya lebih berdaya saing dan bergerak ke tahap lebih tinggi.
Muhyiddin, yang diiringi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah, berada kira-kira sejam melawat gerai serta meninjau pelbagai aktiviti
yang diadakan oleh kementerian dan agensi yang mengambil bahagian.
Acara dua hari yang julung kali diadakan itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri dan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Ia memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat berkaitan NBOS dan memahami tentang pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sejak 2009.
Sebanyak 40 gerai dan aktiviti bagi orang dewasa dan kanak-kanak diadakan oleh pempamer yang mengambil bahagian, termasuk ceramah keusahawanan, penjelasan berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan, cabaran Fit Malaysia dan pemeriksaan kesihatan percuma. – BERNAMA