KUALA LUMPUR – Seramai 2,012 pesalah trafik yang telah dikenakan waran tangkap ditahan dalam Ops Warta di seluruh negara sejak 19 Mei, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata lebih ramai pesalah yang belum menyelesaikan saman dan waran tangkap mereka akan ditahan.
“Operasi kini memasuki fasa kedua. Kita bukan sahaja kesan pesalah trafik melalui sekatan jalan raya tetapi turun menjejak mereka di pejabat atau tempat kerja mereka.
“Jadi sesiapa yang masih belum menjelaskan saman, sila jelaskan segera. Kita akan sambung Ops Warta jika perlu dan jika masih ada yang berdegil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata setakat ini hanya 50,000 saman yang dijelaskan daripada 1.59 juta waran yang dikeluarkan.
Sementara pesalah trafik yang memiliki waran tangkap dan telah menyerah diri adalah seramai 9,836 orang, kata Khalid.
Mengenai penghantaran balik aktivis pelajar dari Hong Kong, Joshua Wong Chi Fung semalam, beliau berkata mana-mana rakyat negara luar yang cuba datang ke Malaysia dengan tujuan membangkitkan rasa runsing dan gusar seperti menghasut rakyat negara ini membuat demonstrasi akan dihalau keluar.
Wong yang tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang pagi semalam tersenarai sebagai orang yang dilarang masuk ke negara ini oleh Jabatan Imigresen.
Aktivis pelajar berusia 18 tahun itu dijadual menghadiri forum ‘The Uprising of Youth and New Social Activism in Singapore and Hong Kong’ di bangunan Komtar, Pulau Pinang semalam selain dijadual menghadiri beberapa lagi forum di Ipoh, Johor Baharu dan Kuala Lumpur. – BERNAMA