BATU PAHAT – Pekan Rengit di daerah Batu Pahat biasanya sunyi tetapi tiba sahaja Khamis malam Jumaat, suasana berubah bagaikan pesta dengan kehadiran penggemar-penggemar barangan terpakai dari seluruh pelosok Johor.
Jalan raya sepanjang 300 meter di hadapan bangunan Mara dipenuhi hamparan tikar kanvas yang dilambakkan dengan pelbagai barangan. Daripada barangan permainanan kanak-kanak, kasut, baju sehingga ke barangan dapur, elektrik semuanya boleh didapati di sini.
Jika pasar karat di Ipoh mahupun Pulau Pinang menjadi tempat perkumpulan barang-barang antik, di pekan Rengit ini pula menjadi lubuk untuk barang-barang terpakai dengan harga yang murah.
KEMERIAHAN PASAR KARAT RENGIT
Hanya berpayungkan langit dan cahaya lampu jalan, 20 peniaga di sini gigih mencari nafkah dengan menjual barangan terpakai yang diperoleh dari Singapura bagi menambah pendapatan keluarga.
Apabila malam semakin larut, urusan jual beli menjadi semakin meriah. Tawar menawar antara pembeli dan penjual menjadi lebih rancak sebelum peniaga menutup gerai masing-masing sekitar pukul 11.00 malam.
Ketika bermula sekitar tahun 1995, hanya tiga peniaga sahaja yang membuka gerai di sini dengan jumlah pelanggan yang boleh dikira dengan jari.
Namun, sejak empat tahun kebelakangan ini, peningkatan mendadak peniaga serta pertambahan jenis barangan yang dijual menjadikan ia lokasi tumpuan termasuk pelanggan yang datang dari Melaka.
Kebanyakan peniaga adalah masyarakat Orang Asli dari Kampung Bumiputera Dalam yang terletak kira-kira satu kilometer dari pekan Rengit.
Mereka sudah hampir 30 tahun mencari rezeki dengan menjual barangan terpakai di kampung mereka sehingga menjadi satu perkampungan pasar karat.
Bagaimanapun, persaingan dalam perniagaan selain peningkatan kos barangan daripada pembekal di Singapura menyebabkan mereka terpaksa mempelbagaikan usaha dengan menjualnya di pasar-pasar malam dan di pasar karat seperti ini.
“Nasib baik cuaca baik malam ini, kalau tidak kami sudah membungkus barang dan pulang,” ujar Mohd Nasrul Asrin Abu Hassan, 33, seorang daripada peniaga di sini.
Jika hujan, kuranglah rezeki mereka pada hari itu.
Keadaan sekarang tidak membolehkan peniaga bermewah dengan pendapatan yang hanya tidak seberapa itu.
“Pendapatan yang diperoleh hanya cukup-cukup makan sahaja. Nak mewah memang tak dapat kerana barang dah mahal. Bila kita ambil bekalan mahal, jadi kita terpaksa jual mahal,” katanya ketika ditemui Bernama di pasar karat Rengit baru-baru ini.
BERGANTUNG HIDUP DENGAN BARANG TERPAKAI
Berasal dari Skudai, beliau menetap di Kampung Bumiputera Dalam sejak lapan tahun lepas, selepas berkahwin dengan isterinya Norasyikin Maron, 31, yang berasal dari kampung itu.
Bermula dengan berniaga di pasar karat pada setiap Khamis, beliau kemudian membuka kedai pasar karat di kampung isterinya bersama puluhan peniaga lain.
Selain di dua lokasi itu, beliau juga menjual barangan terpakai di pasar lain sekitar Johor antaranya pasar malam di Skudai.
Tiga kali seminggu beliau akan memasuki Singapura bagi mendapatkan bekalan.
Adakalanya barangan yang diambil tidak berkualiti menyebabkan beliau terpaksa menanggung kerugian.
“Seboleh-bolehnya, apabila sampai di sana (Singapura) saya akan tengok dahulu barang yang nak diambil… kalau elok dan ada kualiti barulah ambil.
Kadang-kadang, saya pernah juga balik dengan van kosong kerana tidak ada barang yang elok,” katanya.
Setelah dibawa masuk barang-barang tersebut, proses pengasingan akan dibuat sekali lagi. Bagi barangan seperti perabot dan elektrik, ia harus diteliti dengan melakukan baik pulih sebelum dijual kepada pelanggan.
“Barang-barang yang dijual di pasar karat ni, hanya barangan yang ringan dan mudah dibawa. Barang-barang yang besar seperti peti ais, televisyen perabot rumah yang besar dan seumpamanya hanya dijual di kedai.
“Dahulu apa barang yang kita jualpun habis, sebab persaingan kurang… sekarang dah tak sama. Nak jual satu barang je pun susah,” katanya yang turut menjual stok barangan baharu seperti kasut bagi menarik pembeli.
Ujarnya keperluan mendesak peniaga ketika ini ialah bekalan elektrik. Ketiadaan generator sedikit menyukarkan mereka terutama untuk menguji barangan elektrik yang ingin dibeli pembeli.
PERNIAGAAN KELUARGA
Selain Mohd Nasrul, bapa mertuanya, Maron Maridon serta adik iparnya turut berniaga di sana. Ia seperti perniagaan keluarga di sepanjang pasar karat itu.
Maron yang berumur lewat 50-an berkata itu sahaja pekerjaan yang mampu dilakukan setelah tidak lagi bekerja sebagai nelayan sejak enam tahun lepas.
“Dahulu kerja dengan tauke Cina pergi ke laut cari ikan. Bila dah makin tua, kesihatan tidak mengizinkan, selalu semput. Jadi orang pun tak mahu ambil bekerja,” katanya.
Berkongsi pengalamannya berniaga di pasar karat, Maron berkata pendapatan yang diperoleh tidak menentu bergantung kepada barang yang dijual.
Barang yang dikumpul agen di Singapura pula kadangkala tidak berkualiti.
“Sekarang tidak boleh ambil lebih sebab takut banyak barang yang rosak. Agen selalu campur-campur barang yang elok dengan yang tidak elok. Kalau nak ambil kena pilih-pilih dahulu.
“Sebab itu nak dapat RM1,000 sebulan pun sangat susah, pernah juga dapat hanya RM50 untuk seminggu,” keluhnya.
Selain berniaga pada setiap hari Khamis malam, beliau juga berniaga di pasar malam pada setiap hari Sabtu, juga di pekan Rengit.
Mohd Hafiz Dhaufi dari Johor Baharu antara pelanggan yang sering datang ke pasar karat Rengit untuk mencari koleksi kereta kecil lama.
Beliau yang merupakan pengumpul permainan tersebut sanggup memandu lebih 45 kilometer dari Johor Baharu ke sini.
“Tengok nasib juga, kadang-kadang apa yang dicari itu ada, kadang-kadang tak ada. Kena pandai-pandai pilih.
“Tapi yang seronok kita boleh tawar menawar. Pernah saya dapat koleksi kereta kecil dengan harga RM1 sahaja, katanya yang turut mengakui pasar karat Rengit kini semakin meriah dengan lambakan pelbagai jenis barangan terpakai. – BERNAMA
https://youtu.be/5joSfKOuttA