KUALA LUMPUR – Malaysia berpendapat masyarakat antarabangsa perlu membangunkan langkah naratif komprehensif untuk memerangi ideologi ekstremisme, mematahkan propaganda ganas kumpulan ekstremis, di samping memenangi hati dan minda rakyat.
Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin berkata langkah naratif itu perlu berpaksikan konsep yang substantif, meyakinkan dan boleh dilaksanakan yang boleh dimanfaatkan oleh golongan belia apabila berdepan dengan ketidakadilan, hakikat, diskriminasi dan penderitaan di dunia ketika ini.
“Kami perlu mewujudkan kesedaran dalam kalangan belia bahawa keganasan bukan jawapan untuk menangani ketidakadilan dan penderitaan, dan ia (keganasan) adalah bercanggah dengan ajaran asas setiap agama.
“Daripada mengambil tindakan bercorak agresif, langkah naratif akan menumpukan pada cara yang tidak ganas tetapi berkuasa untuk membawa perubahan, seperti mengadakan protes aman, pujukan, tekanan diplomatik dan politik serta memboikot atau sekatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada debat terbuka Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu tentang ‘Peranan Belia Dalam Menangani Ekstremisme Ganas dan Penggalakan Keamanan’ di New York, semalam. Kenyataan beliau dikeluarkan di sini hari ini.
Hamzah berkata perlu diperakui bahawa kumpulan pengganas dan ekstremis bukan sahaja mahukan kuasa mutlak tetapi juga keupayaan menggunakan kuasa untuk menjayakan agenda mereka dan juga kuasa dari segi ideologi atau naratif yang menarik untuk memerangkap golongan belia menyertai mereka.
“Antara usaha Malaysia dalam menyediakan langkah naratif untuk mencabar kuasa pujukan kumpulan ekstremis, Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah memperkenalkan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) lima tahun lepas kepada badan dunia ini.
“Ia bertujuan untuk menyediakan platform kepada golongan majoriti senyap untuk menangani ekstremisme dalam apa juga bentuk,” katanya.
Berdasarkan kajian dijalankan di Malaysia dan rantau Asia Tenggara tentang faktor yang menyumbang kepada kegiatan radikal dalam kalangan belia, beliau berkata didapati dorongan utama dilihat lebih bersifat politik susulan ketidakadilan berlarutan, pencabulan hak asasi manusia secara serius, penjajahan asing dan diskriminasi secara sistematik.
“Kami juga percaya akan tindakan pemulihan selain tindakan punitif dalam mengendalikan golongan belia ini, sama ada atas sikap di mereka yang suka memberontak, idealisme atau kekecewaan, menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan ideologi ekstremis,” katanya. – BERNAMA
